Menjaga Haiwan Daripada Pupus

Penyu yang semakin pupus

Rantau Abang di Terengganu yang suatu masa dulu terkenal dengan pendaratan penyu belimbing kini merindui penyu-penyu yang pernah menziarahinya.

Pada akhir tahun 1980an saya pernah terlibat dengan penyelidikan penyu di Rantau Abang. Pada masa itu, walaupun bilangan penyu belimbing yang mendarat semakin berkurangan (mengikut kata penduduk setempat) tetapi masih ada lagi penyu yang mendarat. Pada masa itu, malam-malam pada musim penyu mendarat di sepanjang pantai Rantau abang masih meriah dengan gerai-gerai dan lampu neon (yang ini juga menakutkan penyu untuk mendarat). Walau bagaimanapun, itu tinggal sejarah….

Sekarang, kepupusan penyu semakin ketara di pesisir pantai kita.

Penyu..oh penyu..

Artikel berkaitan…

Penyu Bantu Pulihara Ekosistem Laut

Oleh Intan Norasyikin Mohd Ariffin

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) — Sebanyak tiga daripada tujuh spesies penyu di dunia, termasuk yang terbesar, penyu Belimbing (Dermochelys coreacea) mendarat di pesisir pantai timur negara.

Penyu belimbing yang hampir pupus

Dua lagi ialah penyu Agar (Chelonia mydas) dan penyu Karah (Eretmochelys imbricata).

Umum tahu bahawa populasi penyu kini diancam kepupusan terutama penyu Belimbing akibat faktor semula jadi dan ancaman manusia, namun masih ramai tidak faham kenapa ada pihak yang beria-ia mahu memelihara spesies ini daripada pupus.

Ketua Pasukan Projek Konservasi penyu Karah di Melaka Lau Min Min berkata penyu juga seperti haiwan lain memainkan peranan penting dalam memulihara keseimbangan ekologi secara langsung di lautan.

Pusingan hidup penyu

PEMANGSA UTAMA

Beliau memberi contoh penyu Belimbing yang amat penting dalam proses mengawal populasi obor-obor. Obor-obor ialah makanan utama penyu ini.

“Corak pemakanan ini, membantu mengurangkan jumlah pemangsa utama kepada anak ikan iaitu obor-obor.

“Ini bagi memastikan anak ikan dapat membesar lalu membekalkan ikan yang mencukupi bagi manusia,” kata Lau.

Selain penyu Belimbing, penyu lain juga ada kepentingannya. Antara lain menurut Lau, penyu Karah berupaya memakan span laut yang terdapat dalam ekosistem terumbu karang. Span laut ini bersaing dengan terumbu karang lain bagi mendapatkan ruang, malah ia dilindungi oleh duri spina yang tajam lagi beracun.

“Pemakanan penyu Karah ini penting dalam kawalatur ekologi terumbu karang. Ia membolehkan ikan-ikan memakan span laut yang mana lapisan durinya telah dimakan oleh penyu terlebih dahulu,” demikian jelas Lau.

Ketiadaan penyu Karah membolehkan span laut membiak lebih agresif lalu menguasai ekosistem terumbu karang yang juga menyediakan makanan kepada ikan.

PENUNJUK RANTAIAN EKOSISTEM LAUT

Antara peranan penyu terhadap ekosistem ialah bertindak sebagai spesies petunjuk dalam ekosistem dengan ia menunjukkan sebarang tanda perubahan disebabkan perubahan persekitaran.

Pegawai Projek Penyelidikan Pusat Penyu dan Ekosistem Marin (Tumec) Rantau Abang, Terengganu Syed Abdullah Syed Abdul Kadir berkata rantaian ekosistem bermaksud rangkaian yang saling mengikat antara satu sama lain, dan jika satu daripadanya hilang maka ia akan memusnahkan hidupan laut yang lain juga.

“Ini bermakna kehadiran penyu boleh menunjukkan tanda perubahan dalam bentuk taburan kehidupan laut dan kelimpahan yang menunjukkan ancaman telah berlaku ke atas keseluruhan ekosistem,” katanya.

Begitu juga penyu Tempayan yang banyak memakan haiwan invertebrata, khususnya krustasea (seperti udang galah, ketam laut), obor-obor, span laut dan batu karang lembut yang hidup di dasar laut. Bentuk pemakanan ini boleh mempengaruhi taburan serta kelimpahan spesies kawasan ekosistem pantai.

Cengkerang penyu pula menjadi tempat bernaung bukan sahaja bagi haiwan yang lain tetapi juga tumbuhan laut. Menurut Syed Abdullah sebanyak 100 jenis haiwan dan tumbuhan marin direkodkan hidup atas cengkerang penyu.

“Jelas kita dapat melihat bagaimana masa depan bagi banyak spesies di lautan berkaitan erat dengan kelangsungan hidup penyu,” kata Syed Abdullah.

Najis penyu juga menjadi baja kepada rumpai laut supaya dapat membiak dan tumbuh dengan lebih banyak lagi.

Menurut Syed Abdullah, jika penyu pupus di sesuatu zon, rantaian makanan di kawasan itu pasti terganggu dan membawa kepupusan kepada populasi ikan yang menjadi sumber protein kepada manusia.

PENYU BELIMBING DI AMBANG KEPUPUSAN

Walaupun ramai yang tidak tahu atau tidak mengambil berat betapa pentingnya spesies penyu dalam alam kehidupan, masih ada yang sayang pada haiwan ini.

Penyelidik Unit Penyu Laut (Seatru) Universiti Malaysia Terengganu Dr Juanita Joseph berkata proses pemuliharaan penyu berterusan sejak tahun 1950-an, namun hasilnya belum dapat dilihat kerana proses kematangan penyu mengambil masa antara 25 dan 50 tahun.

“Kami di Seatru semakin giat menjalankan aktiviti pemuliharaan penyu di Pulau Redang sejak 1993.”

Bagaimanapun, Dr Juanita berkata Malaysia mungkin kehilangan penyu Belimbing.

“Buat masa ini, kita masih lagi mempunyai penyu Agar dan penyu Karah. Persarangan untuk spesies ini juga menurun jika dibandingkan pada tahun 50-an.

“Negara lain pun menunjukkan penurunan juga. Tapi kita berharap langkah pemuliharaan yang kita ambil pada masa kini akan mendatangkan hasil,” kata Dr Juanita.

Melaka&Negeri Sembilan: Penyu semakin pupus
Oleh Arifin Salleh
news@bharian.com.my
2010/03/24

Proses pembangunan dikaitkan sebagai punca kepupusan

MASJID TANAH: Kawasan pantai bermula dari Tanjung Bidara hingga ke Kuala Linggi, di sini, adalah antara lokasi paling popular untuk penyu Karah bertelur dan setiap tahun, haiwan ini akan mendarat di situ sebanyak dua kali.

Penyu Karah memerlukan kawasan pantai yang berpasir, gelap, sunyi serta tiada gangguan ketika bertelur tetapi kebanyakan habitat asal penyu itu dikawasan ini, sudah banyak musnah disebabkan pembangunan serta pencemaran pantai yang semakin berleluasa.

Ketua Pusat Pengurusan dan Penetasan Penyu Padang Kemunting, Pengkalan Balak, Izuan Ismail berkata, perkembangan yang berlaku itu menyebabkan penyu Karah semakin berdepan kepupusan dan jika tidak ditangani segera boleh terus berlarutan. 

Beliau berkata, pelbagai punca masalah itu berlaku termasuk proses pembangunan berlebihan di kawasan pantai, selain aktiviti penambakan pesisir pantai yang tidak terkawal dan terancang serta pencahayaan berlebihan. 

Selain itu, katanya, penggunaan jaring oleh nelayan ketika menangkap ikan yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan Jabatan Perikanan turut menyumbang kepada masalah ini apabila penyu terperangkap dan lazimnya akan mati sebelum sempat diselamatkan. 

“Pengutipan dan penjualan telur penyu secara haram oleh pihak tidak bertanggung jawab juga menyumbang kepada kepupusan hidupan laut ini, malah ada segelintir mereka yang sanggup memakan telur hidupan laut ini untuk dijadikan hidangan keluarga,” katanya. 
Izuan berkata, masalah kepupusan penyu Karah di kawasan berkenaan turut disebabkan pencemaran laut termasuk pembuangan sampah sarap tidak mudah musnah seperti botol dan pelbagai barangan plastik. 

“Sampah tidak mudah pupus ini sering menjadi penyebab kematian penyu ini kerana menyangka ia makanan kegemarannya seperti sotong atau obor, selain kejadian tumpahan minyak yang mengakibatkan penyu tiada ruang untuk bergerak, sekali gus sukar untuk bernafas. 

“Tidak cukup dengan itu, masalah turut wujud akibat operasi perikanan di laut yang tidak terkawal dengan penggunaan jaring nelayan tidak mengikut spesifikasi di sekitar pinggir pantai yang masih berleluasa,” katanya. 

Izuan berkata, setakat ini pelbagai usaha dilakukan pihak berkuasa bagi memastikan masalah kepupusan penyu di kawasan terbabit tidak berterusan. 

Antaranya, memperluaskan program kesedaran dan cintakan hidupan laut ini membabitkan pelajar, penduduk tempatan serta pelancong atau pengunjung yang datang ke pantai Tanjung Bidara hingga Kuala Linggi. 

“Selain itu, kerajaan juga melantik pihak tertentu bertindak sebagai pemungut berlesen bagi mengutip telur penyu yang mendarat pada setiap musim bagi memastikan ia terus dibawa ke tapak pengeraman dan penetasan di sini dengan selamat. 

“Pusat penetasan ini juga secara umumnya berfungsi bagi memelihara dan mengawal populasi penyu Karah daripada terus berdepan kepupusan,” katanya. 

Sekurang-kurangnya 13 hingga 15 ekor penyu Karah mendarat di kawasan pantai Tanjung Bidara hingga Kuala Linggi setiap kali musim bertelur dengan setiap penyu dianggar mengeluarkan purata 200 biji telur. Kedatangan haiwan laut ke sini adalah sekitar Mac, Jun atau September. 

Sementara itu, Akta Perikanan 1985, Kaedah-Kaedah Perikanan (Penyu dan Telur Penyu 1989) adalah antara undang-undang utama yang melindungi penyu di negara ini. Mengikut akta ini, ia memberi perlindungan penyu dan melarang gangguan terhadapnya dalam apa cara sekali pun, sama ada dalam perjalanan pergi dan balik ke tempat bertelur atau ketika dalam proses bertelur. 

                                                     

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s